Takkan kutukar dukacita hatiku demi kebahagiaan khalayak.
Dan, takkan kutumpahkan air mata
kesedihan yang mengalir dari tiap bahagian diriku berubah menjadi gelak tawa.
Kuingin diriku tetaplah setitis air mata
dan seulas senyuman.
Setitis airmata yang menyucikan hatiku
dan memberiku pemahaman rahsia kehidupan dan hal ehwal yang tersembunyi.
Seulas senyuman menarikku dekat kepada
putera kesayanganku dan menjelma sebuah lambang pemujaan kepada tuhan.
Setitis airmata meyatukanku dengan
mereka yang patah hati;
Seulas senyum menjadi sebuah tanda
kebahagiaanku dalam kewujudan.
Aku merasa lebih baik jika aku mati
dalam hasrat dan kerinduan berbanding jika aku hidup menjemukan dan putus asa.
Aku bersedia kelaparan demi cinta dan
keindahan yang ada di dasar jiwaku setelah kusaksikan mereka yang dimanjakan
amat menyusahkan orang.
Telah kudengar keluhan mereka dalam
hasrat kerinduan dan itu lebih manis daripada melodi yang termanis.
Ketika malam tiba bunga menguncupkan
kelopak dan tidur, memeluk kerinduannya.
tatkala pagi menghampiri, ia membuka
bibirnya demi menyambut ciuman matahari.
Kehidupan sekuntum bunga sama dengan
kerinduan dan pengabulan.
Setitis airmata dan seulas senyuman.
Air laut menjadi wap dan naik menjelma
menjadi segumpal mega.
Awan terapung di atas pergunungan dan
lembah ngarai hingga berjumpa angin sepoi bahasa, jatuh bercucuran ke
padang-padang lalu bergabung bersama aliran sungai dan kembali ke laut,
rumahnya.Kehidupan awan-gemawan itu adalah sesuatu perpisahan dan pertemuan.
Bagai setitis airmata seulas senyuman.
Dan, kemudian jiwa jadi terpisahkan dari
jiwa yang lebih besar, bergerak di dunia zat melintas bagai segumpal mega
diatas pergunungan dukacita dan dataran kebahagiaan.
Menuju samudera cinta dan keindahan -
kepada Tuhan.
--Khalil Gibran--
Tidak ada komentar:
Posting Komentar